Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi kejadian kes pecah rumah dan impaknya kepada masyarakat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Musim perayaan menjelang setiap tahun dan serentak dengan itu ramai warga kota akan pulang ke kampung menyambut Aidilfitri dengan penuh meriah. Bagi kaum lain, waktu ini juga adalah kesempatan terbaik untuk mereka bersama keluarga bercuti panjang sama ada pulang ke kampung atau bercuti di dalam dan di luar negara. Kakitangan awam akan diberi cuti lebih awal dan dipercayai sebilangan besar warga kota terus menyambung cuti panjang bagi menghabiskan baki cuti sebelum akhir tahun. Keadaan ini menyebabkan penjenayah mengambil kesempatan untuk menjalankan aktiviti pecah rumah.
Justeru, pada waktu beginilah penjenayah akan bertindak memecah rumah dan meneroka mencari barang-barang yang berharga di dalam rumah. Jenayah sebegini merupakan senario biasa pada musim perayaan, terutamanya kawasan perumahan yang baru dibuka. Laporan daripada pihak Polis Diraja Malaysia menunjukkan bahawa pada musim perayaan berlaku peningkatan kes sebanyak 20% berbanding pada bulan yang lain. Oleh itu, sebagai pemilik rumah mereka sewajarnya mengambil langkah bagi mengelakkan rumah mereka menjadi sasaran penceroboh. Mereka perlu memastikan semua perkara diambil kira termasuk pintu dan jeriji dikunci, simpan semua barang seperti tangga dan peralatan lain di tempat selamat, pastikan keadaan rumah lapang dan tiada semak samun yang memudahkan penjenayah menceroboh kawasan rumah.
Selain itu, pemilik rumah perlu sentiasa prihatin terhadap sebarang aktiviti yang menjadi kebiasaan seperti langganan surat khabar dihentikan, tidak membiarkan lampu sentiasa terpasang sepanjang hari dan yang paling utama adalah memaklumkan kepada balai polis berhampiran bagi memudahkan rondaan dilakukan sekerap yang mungkin. Bagi kawasan perumahan yang mempunyai pengawal keselamatan atau sektor Rukun Tetangga mungkin risiko rumah mereka dipecah masuk agak berkurangan. Diharapkan pihak berkenaan perlu amanah, jujur dan bertanggungjawab menjaga keselamatan kawasan perumahan. Jangan pula nanti seperti pepatah Melayu”harapkan pagar, pagar makan padi”
Polis pula perlu mempunyai perancangan dengan membekukan cuti anggotanya untuk mengawal dan membuat rondaan di kawasan berisiko tinggi berlakunya kejadian pecah rumah. Keadaan ini disebabkan di celah-celah kawasan perumahan sudah pasti pekerja asing yang tinggal secara berkongsi akan sentiasa menunggu peluang melakukan jenayah. Kerjasama orang ramai, persatuan penduduk , Rukun Tetangga dan polis amat diharapkan supaya masing-masing saling membantu memberi maklumat jika berlaku kejadian yang tidak diingini. ‘Rakan Cop’ adalah saluran penting bagi memastikan misi membanteras jenayah dapat dikurangkan.
Apa-apa sahaja usaha yang dilakukan tidak akan berjaya selagi masyarakat sendiri tidak membabitkan diri. Setiap seorang daripada kita ada peranannya. Selagi rakyat mementingkan diri sendiri, selagi itulah penjenayah akan bermaharajalela.
No comments:
Post a Comment