Soalan 2 (b) - Petikan Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Fuad mengeluh lagi. “Tak apalah mak,” kata Fuad. “Biar saya jumpa Datuk Sukar dulu.”
“Tapi, jangan cari gaduh Fuad,” rayu mak. “Datuk Sukar orang besar Fuad, orang kaya, orang ada pengaruh. Suaranya laku. Nanti kita juga yang susah.”
“ Saya bukannya nak cari gaduh mak,” balas Fuad sambil memandang resah ke dalam kegelapan di luar rumah. “Tapi saya juga tak suka orang buat sesuka hati pada kita. Kita bukan tunggul mak.”
“Mak tak mau kau bertegang leher dengan Datuk Sukar Fuad.” Suara mak penuh harapan. “Dia tu... dia tu... ah Fuad, ingatlah sikit pada Junainah Fuad.”
“ Junainah?” Suara Fuad parau. Junainah? Hati Fuad berdetak. Namun kaki Fuad melangkah juga, meredah dalam kegelapan malam.
Mak macam terpinga-pinga membiarkan kepergian Fuad. Mak tahu benar, anak bongsu mak yang bertubuh tinggi jangkung berkulit hitam manis itu, yang baru menjangkau usia 27 tahun, sangat tegas dan keras hati.
Sehingga saat itu mak masih belum benar-benar mengerti apa sebenarnya yang terjadi. Apa yang mak ingat, mak serahkan geran tanah itu kepada Datuk Sukar. Apabila Datuk Sukar suruh mak turunkan cap jari atas sekeping kertas, mak turunkan saja. Mak tak tahu apa. Mak percaya benar terhadap kejujuran Datuk Sukar.
Namun buat Fuad , telah diputuskan dalam hatinya, sejengkal tanah pun tak akan dilepaskan, meskipun dibayar sejuta ringgit. Fuad merasa dirinya telah begitu dihina, seolah-olah dianggap macam sampah, macam daun kering; sedikit pun tak berharga untuk dibawa bermuafakat.
Apa hak Datuk Sukar berbuat sesuka hatinya begitu?
Fuad melangkah dengan rimas melalui lorong yang sempit itu. Tak ada lampu yang menerangi jalan, kecuali tempias sinar dari rumah-rumah yang murung dan sepi.
(Dipetik daripada Sebutir Pasir di Kaki
oleh Norhisham Mustafa dalam antologi Kerusi Dewan Bahasa dan Pustaka )
(i) Mengapakah emak Fuad tidak membenarkan anaknya bergaduh dengan Datuk Sukar?
[ 3 markah ]
(ii) Sekiranya anda Junainah, apakah usaha-usaha yang akan anda lakukan untuk meredakan kemarahan Fuad?
[ 3 markah ]
(iii) Huraikan satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan di atas dan dua nilai kemanusiaan lain daripada keseluruhan cerpen.
[ 3 markah ]
Soalan 2 (c) - Petikan Prosa Klasik
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka berceritalah anak kera itu segala perihalnya itu kepada bapanya. Maka kata bapanya, “ Hai anakku, apakah kataku dahulu kepadamu? Sekarang janganlah lagi engkau bersahabat dan bermain-main dengan anak saudagar itu?”
Sungguhpun demikian kata bapanya, tiada jua didengar oleh anak kera itu, sedia kala pergi juga ia bermain-main dengan anak saudagar itu. Adapun luka anak kera itu sudahlah sembuh, tetapi luka anak saudagar itu belum juga sembuh lagi, beberapa pun diubati oleh tabib, tiada juga baik.
Maka kata tabib kepada saudagar itu,”Adapun luka anak tuan hamba ini jika beroleh hati anak kera itu, sembuhlah.”
Setelah anak saudagar mendengar kata tabib demikian, maka katanya, “Meski hamba mati sekalipun, bahawa sesungguhnya tiadalah hamba mahu membunuh anak kera itu.”
Setelah dilihat oleh saudagar itu luka anaknya itu tiada juga mahu sembuh lagi, maka saudagar itu pun berfikir di dalam hatinya. “ Baiklah, apabila datang anak kera itu, kubunuh.”
Syahdan, pada suatu hari datanglah anak kera itu hendak bermain-main dengan anak saudagar itu seperti adat sedia kala juga, maka segera ditangkap oleh saudagar dan dibunuh akan dia, diambilnya hatinya lalu diubatkan anaknya itu. Maka luka anak saudagar itu pun sembuhlah.
(Dipetik daripada
Cerita Bayan Tiada Menurut Kata Ibu Bapanya
dalam antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(i) Apakah maksud rangkai kata beberapa pun diubati oleh tabib, tiada juga
baik?
[ 2 markah ]
(ii) Bagaimanakah cara saudagar itu membunuh anak kera?
[ 3 markah ]
(iii) Pada pendapat anda, wajarkah saudagar membunuh anak kera untuk menyembuhkan penyakit anaknya?
[ 3 markah ]
Soalan 2 (d) - Petikan Puisi
Baca seloka di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan kata-kata anda sendiri.
SELOKA PAK KADUK
Aduhai malang Pak Kaduk
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang;
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.
Puisi Melayu Tradisional, 1997.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
( i ) Apakah maksud Ada rumah bertandang duduk? [ 2 markah ]
(ii) Pada pandangan anda, mengapakah manusia perlu meninggalkan tabiat suka berjudi?
[ 3 markah ]
(iii) Nyatakan pengajaran yang terdapat dalam seloka di atas.
[ 4 markah ]