Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menyumbang kepada bencana alam dan langkah-langkah membendungnya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sejak belakangan ini, kita sering dikejutkan oleh pelbagai fenomena bencana yang berkaitan dengan alam semula jadi. Hal ini bermakna manusia semakin hari semakin berdepan dengan pelbagai peristiwa, dugaan, dan cabaran yang secara tidak langsung menguji keamanan, kedamaian, dan kestabilan global. Bencana alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz.
Di Malaysia, bencana alam jarang-jarang berlaku. Walau bagaimanapun, antara bentuk bencana alam yang kerap direkodkan di negara kita ialah banjir, banjir kilat, dan tanah runtuh. Bencana alam sebahagian besarnya berlaku akibat daripada proses semula jadi alam. Terdapat beberapa peristiwa bencana alam yang mendapat liputan meluas seperti tragedi Highlands Towers (1993), tragedi Pos Dipang (1996), Tragedi Ribut Greg di Sabah (1996), kejadian tanah runtuh di Gombak (2004),dan banyak lagi. Manakala tragedi ombak tsunami pada 26 Disember yang lalu merupakan yang pertama kali berlaku dan tidak mungkin kita semua lupakan.
Kejadian tanah runtuh, banjir lumpur, banjir kilat, bekalan air tercemar, atau kebakaran hutan disebabkan oleh perbuatan manusia yang tidak mempedulikan alam sekitar. Sikap rakus yang mementingkan keuntungan berlipat ganda menyebabkan penebangan hutan tanpa kawalan berleluasa. Ekorannya terjadilah pelbagai bencana alam yang menggugat keharmonian manusia. Pembuangan sampah sarap di merata-merata tempat turut mengakibatkan longkang tersumbat dan menyumbang kepada banjir kilat. Selain itu sikap segelintir pemaju yang menambak tanah sehingga mengakibatkan kawasan tertentu menjadi lebih tinggi daripada kawasan asal juga menyumbang kepada banjir kilat. Hal inilah yang berlaku di bandar raya terancang Shah Alam sehingga terpaksa menerima kehadiran banjir yang buruk dalam tempoh sepuluh tahun.
Isu Bukit Cahaya Seri Alam dan Taman Templer masih lagi segar dalam ingatan rakyat Malaysia. Inilah yang dikatakan bala yang diturunkan daripada Yang Maha Esa apabila alam sekitar dikorbankan tanpa belas kasihan. Bukan sahaja hutan digondolkan, malahan bukit ditarah demi mengejar kemajuan. Mungkin penduduk di Shah Alam bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah , Datuk Seri Abdul Aziz Shamsudin yang menyatakan bahawa pembinaan projek baharu di tapak yang lebih tinggi merupakan antara bencana alam seperti banjir besar dan tanah runtuh. Pengurusan alam semula jadi secara bersepadu antara kerajaan, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan turut diabaikan dalam proses melaksanakan pembangunan negara secara lestari.
Sesungguhnya, alam termasuk bumi dan segala isinya berputar dan berfungsi mengikut apa-apa yang telah ditetapkan oleh Penciptanya.Justeru, tidak hairanlah apabila putaran fungsi ini digugat, maka wujudlah pelbagai bencana alam yang kadangkala di luar pemikiran manusia.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Bencana Alam Angkara Siapa?,
oleh Hj Samat Buang, Dewan Siswa, September 2006)
Soalan 2 : Pemahaman
Soalan 2 (a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata liputan meluas. [2 markah ]
(ii) Nyatakan beberapa peristiwa bencana alam yang pernah berlaku di Malaysia.
[3 markah ]
(iii) Pada pendapat anda, mengapakah pelbagai kempen yang dijalankan untuk
meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar tidak
berkesan? [4 markah ]
No comments:
Post a Comment