Monday, June 28, 2010

Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menyumbang kepada bencana alam dan langkah-langkah membendungnya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak belakangan ini, kita sering dikejutkan oleh pelbagai fenomena bencana yang berkaitan dengan alam semula jadi. Hal ini bermakna manusia semakin hari semakin berdepan dengan pelbagai peristiwa, dugaan, dan cabaran yang secara tidak langsung menguji keamanan, kedamaian, dan kestabilan global. Bencana alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz.

Di Malaysia, bencana alam jarang-jarang berlaku. Walau bagaimanapun, antara bentuk bencana alam yang kerap direkodkan di negara kita ialah banjir, banjir kilat, dan tanah runtuh. Bencana alam sebahagian besarnya berlaku akibat daripada proses semula jadi alam. Terdapat beberapa peristiwa bencana alam yang mendapat liputan meluas seperti tragedi Highlands Towers (1993), tragedi Pos Dipang (1996), Tragedi Ribut Greg di Sabah (1996), kejadian tanah runtuh di Gombak (2004),dan banyak lagi. Manakala tragedi ombak tsunami pada 26 Disember yang lalu merupakan yang pertama kali berlaku dan tidak mungkin kita semua lupakan.

Kejadian tanah runtuh, banjir lumpur, banjir kilat, bekalan air tercemar, atau kebakaran hutan disebabkan oleh perbuatan manusia yang tidak mempedulikan alam sekitar. Sikap rakus yang mementingkan keuntungan berlipat ganda menyebabkan penebangan hutan tanpa kawalan berleluasa. Ekorannya terjadilah pelbagai bencana alam yang menggugat keharmonian manusia. Pembuangan sampah sarap di merata-merata tempat turut mengakibatkan longkang tersumbat dan menyumbang kepada banjir kilat. Selain itu sikap segelintir pemaju yang menambak tanah sehingga mengakibatkan kawasan tertentu menjadi lebih tinggi daripada kawasan asal juga menyumbang kepada banjir kilat. Hal inilah yang berlaku di bandar raya terancang Shah Alam sehingga terpaksa menerima kehadiran banjir yang buruk dalam tempoh sepuluh tahun.

Isu Bukit Cahaya Seri Alam dan Taman Templer masih lagi segar dalam ingatan rakyat Malaysia. Inilah yang dikatakan bala yang diturunkan daripada Yang Maha Esa apabila alam sekitar dikorbankan tanpa belas kasihan. Bukan sahaja hutan digondolkan, malahan bukit ditarah demi mengejar kemajuan. Mungkin penduduk di Shah Alam bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah , Datuk Seri Abdul Aziz Shamsudin yang menyatakan bahawa pembinaan projek baharu di tapak yang lebih tinggi merupakan antara bencana alam seperti banjir besar dan tanah runtuh. Pengurusan alam semula jadi secara bersepadu antara kerajaan, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan turut diabaikan dalam proses melaksanakan pembangunan negara secara lestari.

Sesungguhnya, alam termasuk bumi dan segala isinya berputar dan berfungsi mengikut apa-apa yang telah ditetapkan oleh Penciptanya.Justeru, tidak hairanlah apabila putaran fungsi ini digugat, maka wujudlah pelbagai bencana alam yang kadangkala di luar pemikiran manusia.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Bencana Alam Angkara Siapa?,

oleh Hj Samat Buang, Dewan Siswa, September 2006)

Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2 (a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata liputan meluas. [2 markah ]

(ii) Nyatakan beberapa peristiwa bencana alam yang pernah berlaku di Malaysia.

[3 markah ]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah pelbagai kempen yang dijalankan untuk

meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar tidak

berkesan? [4 markah ]

Tatabahasa

Jawab semua soalan

(a) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) mengingat - beringat-ingat

(ii) menggulung - bergulung-gulung

(iii) menimpa - bertimpa-timpa

[ 6 markah ]

(b) Tukarkan petikan berikut ke dalam bentuk karangan biasa menggunakan cakap pindah.

Asmadi : Bila kaupulang dari luar negeri ?

Maria : Dah seminggu dah,kau macam mana. Masih tinggal di kampung ni ke?

Asmadi : Begitulah Maria, aku ni tak pandai macam kau. Jadi tempat aku di sini sajalah.

Maria : Tak apalah Madi. Di mana-mana pun ada rezeki asalkan kita

rajin. Lagipun aku dengar kau dah ada perniagaan sendiri

sekarang.

Asmadi : Aku setuju dengan pandangan kau tu. Perniagaan aku tu, kecil-

kecilan saja

Maria : Baguslah, walaupun kecil aku bangga dengan usaha kau.

Asmadi : Terima kasih.

[6 markah ]

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Proses pembelajar yang berkesan dapat dicapai dengan menggunakan panca indera manusia sebaik mungkin.

(ii) Sukan bukan lagi berupakan aktiviti raidah semata-mata malah sebagai suatu bidang kerjaya dari perspektif sumber pendapatan

(iii) Matlamat murni perlaksanaan ko-kurikulum di sekolah-sekolah akan menjadi kabur tanpa perhatian yang sewajarnya

[ 6 markah ]

(d) Dalam ayat-ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan kata atau istilah atau kesalahan bahasa. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Rencana tersebut membincangkan tentang faedah kitar semula dalam usaha mengatasi masalah kekurangan tapak penghapusan sampah di negara kita.

(ii) Dari sehari kepada sehari perasaan kami berdegup-degup menantikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal dihadapi

(iii) Pandangan dari puncak bukit itu paling indah sekali pada waktu senja.

[ 6 markah ]

(e) Bina satu ayat daripada setiap peribahasa yang berikut ini. Ayat anda mestilah dapat menjelaskan maksud peribahasa tersebut.

(i) Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

(ii) Bagai kaca terhempas ke batu.

(iii) Darah daging

[ 6 markah ]

Komsas

Soalan 2 (b) - Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hujung minggu aku, Kris dan Kristal sering menghabiskan masa di Barry Island, dua kilometer dari bandar Cardiff. Bersenda gurau menikmati keindahan alam yang amat mempersonakan. Berkongsi tawa dan berderai gelak diiringi ciut beburung riang mengembangkan sayap sambil menaiki longflume (sejenis permainan berperahu). Seringnya aku bersama Kris. Dan Kristal hanya menjadi pemerhati yang setia, mengambil gambar-gambar kami.

Penat berjalan, kami bertiga duduk bersantai di tepi Jambatan Pulteney di Bath, memerhatikan perahu yang mudik dan memberi makan itik-itik. Paling tidak pun, menyaksikan keindahan bunga-bunga tulip mekar berkembangan di Taman Roath. Alangkah indahnya waktu itu. Sesungguhnya saat itu amat manis, amat indah. Keindahan dan kemanisan itu tidak mungkin dapat kukongsikan bersama orang lain. Itulah yang bakal menemani sepiku, mengubat rinduku pada tanah air, pada keluarga.

Entahlah! Meski mereka baik, namun antara kami masih ada jurang pemisah. Aku, Kris, dan Kristal, masing-masing terikat pada adat dan resam masing-masing. Aku tidak mungkin akan mengikut mereka ke disko atau ke parti yang dianjurkan mereka. Aku anak timur yang dibesarkan berlandaskan ciri-ciri etika ketimuran yang murni dan unggul. Aku hidup berpegang kepada ajaran agama yang luhur. Air mata mak sering kujadikan peringatan. Amanat abah tetap kuselit baik-baik.

“Joey jemput kita semua ke Christmas Dinner.”

Aku yang baru cuba-cuba membaca akhbar terhenti.

“Joey?” Aku bertanya sekadar berbasa-basi!

“Hey! Joey is one of our classmates. Don’t you remember?”

Aku pura-pura menggaru kepala yang tidak gatal sebelum menjawab: “Oh! That blond handsome guy!”

(Dipetik daripada Aku, Kris dan Kristal

oleh Dima Mazlina dalam antologi Kerusi Dewan Bahasa dan Pustaka )

(i) Mengapakah ‘aku’ terasa ada jurang pemisah antara dia dengan Kris, dan Kristal? [3 markah ]

(ii) Seandainya anda Hana, apakah yang akan anda lakukan untuk menyesuaikan diri ketika berada di luar negara?

[ 3 markah ]

(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas dan dua pengajaran lain daripada keseluruhan cerpen.

[ 3 markah ]

Soalan 2 (c) - Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka Dang Raya Rani dengan keempat perempuan sertanya itu pun lenyaplah. Ada kadar sesaat, maka kelihatan seorang perempuan tua, bongkok belakangnya, berlipat tiga. Maka ia berkata pada Tun Mamat, “Adapun segala kata-kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada Puteri Gunung Ledang. Akan titah tuan puteri, “Jikalau Raja Melaka hendakkan aku, perbuatkan aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang ini. Akan peminangnya, hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan, dan darah raja semangkuk, dan darah anak raja yang bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau boleh demikian, kabullah tuan puteri akan kehendak Raja Melaka itu.”

Telah sudah ia berkata-kata demikian lenyaplah ia.

Maka pada suatu riwayat orang tua yang berkata-kata itulah Puteri Gunung Ledang, merupakan dirinya seperti orang tua.

Telah itu Tun Mamat pun turunlah dari sana, kembali pada Laksamana dan Sang Setia. Maka segala kata Puteri Gunung Ledang itu semuanya dikatakannya pada Laksamana dan Sang Setia. Maka, Laksamana dengan segala kawannya itu pun turunlah dari atas Gunung Ledang itu, sampailah ke Melaka. Maka Laksamana dan Sang Setia dan Tun Mamat pun masuklah menghadap Sultan Mahmud, dan segala kata yang didengarnya itu semuanya dipersembahkannya kepada Sultan Mahmud.

(Dipetik daripada

Peminangan Puteri Gunung Ledang,”

dalam antologi Anak Laut,

Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah maksud rangkai kata kabullah tuan puteri berdasarkan petikan di atas? [2 markah ]

(ii) Apakah tindakan Tun Mamat setelah berjumpa dengan perempuan tua itu? [3 markah ]

(iii) Pada pendapat anda, wajarkah Sultan Mahmud memenuhi permintaan Tuan Puteri Gunung Ledang ? Berikan alasan anda. [3 markah]

Soalan 2 (d ) - Petikan Puisi

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

DI RUANG GEMANYA

Telah kurangkumkan rebah setiaku

pada setiap pilu dan rindu

melayang dan mengembang

ke hayat gemilang. Sejak itu

tidak kukesal lagi

goda dan duga

di gerimis senja

Telah kupahatkan lelah umurku

pada setiap kerikil dan debu

datang dan menghilang

ke hujung kenang. Sesudah itu

tidak kukenal lagi

hampa dan derita

di guruh pagi.

Gerimis senja guruh pagi

adalah titipan maya

bakal kukongsi hati

mengukir tadbir di ruang gemanya.

Dharmawijaya

Gurindam Alam, 1994

MASA ENTERPRISE

(i) Apakah maksud rangkai kata ke hayat gemilang berdasarkan sajak di atas? [2 markah ]

(ii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus dilakukan

sekiranya kita ingin mengekalkan kedaulatan negara kita?

[ 3 markah ]

(iii) Nyatakan mesej yang ingin disampaikan oleh penyajak dalam sajak ini?

[ 4 markah ]